Saturday 8 December 2012

KARANGAN JENIS CERITA


1. Melawat Ladang Ternakan Lembu
Pada hari Sabtu yang lalu, saya dan rakan-rakan telah melawat ke ladang ternakan lembu milik Pak Din. Ladang ternakan lembu tersebut agak luas.
        Selain membela lembu, Pak Din juga membela kambing. Haiwan ternakan itu dibiarkan bebas meragut rumput di padang yang luas.
        Semasa berada di ladang ternakan itu, kami melihat lembu dan kambing Pak Din gemuk-gemuk belaka. Ladang ternakan Pak Din begitu bersih kerana dijaga dengan rapi oleh dua orang pembantunya.
        Walaupun berasa sunnguh penat, kami berasa amat gembira kerana  telah mendapat sebuah pengalaman  baharu.

Soalan:

1. Selain lembu,apakah binatang lain yang dibela oleh Pak Din?
2. Bagaimanakah keadaan ladang ternakan Pak Din?
3. Pak Din mempunyai berapa orang pembantu?


2.Rumah Baharu Sofia
       
Ayah Sofia telah membeli sebuah rumah banglo baru. Rumah baru Sofia terletak di Taman Pokok Sena. Rumah itu ialah rumah banglo dua tingkat. Rumah itu berharga RM 430 000.
        Pada hari Sabtu yang lalu, Sofia sekeluarga telah berpindah ke rumah banglo itu. Rumah itu besar dan cantik. Rumah itu mempunyai empat buah bilik tidur, sebuah dapur, dan ruang tamu yang besar. Halaman rumahnya juga luas.
        Ibu Sofia telah menghias rumah baharu itu dengan kemas sekali. Di luar rumah, ibunya telah menanam bermacam-macam jenis pokok bunga seperti Bunga Orkid, Bunga Kertas, dan Bunga Raya. Sekarang, rumah baharu Sofia kelihatan sungguh cantik.

Soalan:

1. Apakah jenis rumah yang dibeli oleh ayah Sofia?
2. Di manakah terletaknya rumah baru Sofia?
3. Apakah jenis pokok bunga yang ditanam oleh ibu Sofia?


3.Hari  Pertama ke Sekolah
       
        Rani berasa gementar pada hari ini. Hari ini ialah hari pertama Rani ke sekolah. Rani memakai pakaian seragam sekolah dengan kemas. Ayahnya menghantar Rani ke sekolah dengan menaiki kereta.
        Apabila tiba di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, orang telah ramai. Rani dengan ditemani oleh ayahnya terus masuk ke dewan untuk mendaftar. Kemudiannya, Rani dibawa ke Tahun Satu Bestari. Guru kelas Rani bernama Cikgu Zuraidah.
        Rani mendapat ramai kawan. Rakan sekelas Rani sangat baik dan peramah. Perasaan gementar Rani hilang sedikit demi sedikit.
        Setelah pulang ke rumah, Rani menceritakan pengalaman hari pertamanya ke sekolah kepada ayah dan ibunya.

Soalan:

1. Siapa yang menghantar Rani ke sekolah?
2. Apakah nama sekolah Rani?
3. Siapakah nama guru kelas Rani?



4.Gotong-royong
       
        Pada hari Sabtu lepas, sekolah Saiful telah mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan sekolah. Guru Besar menyuruh semua murid membawa alat-alat yang diperlukan seperti pongkes, baldi, parang, kain buruk, dan sebagainya.
        Tepat jam 8.00 pagi,semua guru dan murid sudah berkumpul di tapak perhimpunan. Penolong Kanan telah membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diketuai oleh tiga orang guru. Ada yang mencuci longkang, memungut daun-daun kering, membakar sampah-sarap, dan menebas rumput. Selepas itu, mereka mengemas bilik darjah pula.
        Aktiviti gotong-royong itu tamat pada jam 11.00 pagi. Guru Besar berasa gembira kerana kawasan sekolah kelihatan bersih dan indah.


Soalan:

1. Bilakah gotong-royong diadakan di sekolah Saiful?
2. Pukul berapakah semua guru dan murid berkumpul di tapak perhimpunan?
3. Apakah kerja yang dilakukan oleh murid-murid?


5.Lawatan ke Rumah Orang-orang Tua.
     
        Sempena Hari Warga Tua, Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat telah mengadakan lawatan ke Rumah Orang-orang Tua Sri Indah. Lawatan disertai oleh 35 orang murid beserta tiga orang guru pengiring.
        Mereka berpeluang untuk bermesra dengan penghuni rumah tersebut yang berjumlah 102 orang. Beberapa orang murid turut menghiburkan mereka dengan persembahan nyanyian dan tarian. Penghuni-penghuni di situ kelihatan terhibur.
        Cikgu Azizah telah menyampaikan sumbangan kepada penghuni-penghuni rumah orang tua itu. Sumbangan berupa wang dan pakaian itu didermakan oleh ibu bapa, guru-guru, dan orang ramai beberapa minggu sebelum lawatan diadakan. Lawatan itu telah meninggalkan banyak pengalaman manis dalam hati setiap murid serta guru.

Soalan:
1. Berapakah orang murid yang menyertai lawatan itu?
2. Berapakah penghuni yang tinggal di Rumah Orang Tua Sri Indah?
3. Apakah jenis sumbangan yang diberi oleh Cikgu Azizah?

No comments:

Post a Comment